Peperangan
merebut kekuasaan seolah-olah sudah menjadi sebuah kebiasaan pada zaman ini.
Berdepan dengan sebuah abad yang mempunyai pelbagai cabaran, pemerintah lebih
ramai yang kelihatan seakan terdesak untuk menggapai kuasa supaya berada di
dalam genggaman mereka walupun keupayaan mereka untuk memerintah sebuah jamaah
boleh dipertikaikan. Perebutan untuk mempunyai kuasa ini tidak sahaja berlaku
di dalam parti politik, malah sebenarnya semakin melarat merebak di dalam
institusi-institusi pekerjaan, pusat pengajian tinggi dan institusi-institusi
lain.
Merenungi kembali kepada gerakan-gerakan ummah yang pastinya mata lebih memberi tumpuan kepada parti politik, sebenarnya ada sesuatu yang perlu difahami dan difikirkan kembali oleh pemimpin sebelum benar-benar berani menunjukkan kejantanan mereka dalam menggalas tanggungjawab. Menyelami kembali maksud fiqh al-harakah dan fiqh al-hadharah, mungkin dapat memberi penyelesaian kepada kekalutan masa kini dalam mendepani sebuah isu mengenai kuasa.
Fiqh harakah jika
dilihat dengan mata kasar dapatlah disimpulkan kepada perjuangan yang ada
mestilah dalam keadaan bersama jemaah atau gerakan. Akan tetapi, pembinaan fiqh
harakah juga terdapat sedikit kelemahan iaitu apabila ada anggapan di dalam kalangan
pemimpin bahawa sebuah negara itu mestilah terbentuk dahulu dan kemudiannya
barulah akan terbentuk hadharah. Namun realitinya, kesukaran untuk membentuk
hadharah akan terjadi apabila setelah harakah telah dibangunkan, maka ramai
yang terkeliru dengan ‘hadharah semasa’ yang lebih menawarkan politik
demokrasi. Malah lebih menyedihkan, keadaan semasa kini yang dibaluti kemodenan
telah membuatkan lebih ramai yang terperangkap dan terjerat dengan pelbagai
jenis ideologi yang telah diserap masuk dalam keadaan tidak sedar.
Fiqh al-hadharah
adalah sebuah penggagasan perkara yang sangat asas iaitu pembinaan pandangan
alam islam yang merupakan penterjemahan aqidah islamiyyah ke dalam segenap
bentuk kehidupan baik lapangan ilmu fard ain dan fard kifayah yakni sebuah
kefahaman yang bersungguh-sungguh untuk menghidupkan ajaran islam itu sendiri
dalam seluruh hidupnya secara peribadi,keluarga,kejiranan,jamaah,masyarakat dan
sampai kepada yang lebih besar. Ini bermaksud, fiqh hadarah bukanlah sesuatu
yang boleh dicipta sebegitu sahaja,tetapi memerlukan sebuah kefahaman yang
jelas mengenai islam sedari kecil lagi. Persoalan mengenai solat,puasa, juga
ibadah-ibadah lain sangat perlu dititik beratkan akan kepentingannya agar makna
sebuah tanggungjawab itu sudah terdidik di dalam jiwa individu muslim.
Kembali kepada konteks sebuah kepimpinan
berfokus kepada perjuangan menegakkan hadharah di dalam kerangka kenegaraan,
perjuangan seperti ini sebenarnya telah bermula di dalam perjuangan menegakkan hadharah
islamiyah di madinah dengan bermula di mekah sejak 13 tahun lagi. Ini termasuk
2 percubaan Hijrah iaitu ke Habsyah dan ke Taif. Ini seterusnya diikuti dengan
perjumpaan dengan khabilah-khabilah dari madinah pada musim Haji dan
mengislamkan mereka lalu menghantar naqib atau murabi kepada mereka bagi
membina hadharah awal di sana. Di sini,dapat dilihat apa yang nabi tekankan
sebelum membina asas-asas kenegaraan itu dahulu adalah ummah melalui penegasan
menegakkan peribadi, biah termasuk keluarga yang beriman membina kekuatan ukhwah
dan inilah yang akhirnya membawa maksud
kepada hadharah.
Namun, tidak
dapat dinafikan juga bahawa harakah dan hadharah itu perlu bergerak
seiring,kerana dalam pembangunan yang semakin rancak ini,ummah harus berada
dalam keadaan berjamaah dan seiring kerana sebuah perjuangan yang ingin
diangkat ini merupakan sebuah perjuangan yang tidak mampu dilaksanakan oleh
seorang individu sahaja. Namun begitu,harus difahami juga, dalam meneruskan
perjalanan perjuangan yang maha berat,besar dan mencabar ini,hadharah perlulah
dibentuk agar perjuangan tidak tersesat dan tersasar dari matlamat asal. Alat
yang digerakkan melalui kefahaman harakah akan menggerakkan sebuah perjuangan.
Jika perjuangan itu adalah sebuah perjuangan islam,maka ia akan menggerakkan
hadharah islamiyyah,tetapi jika ia merupakan wadah sekular,maka hasilnya pasti
akan menjadi hadharah sekular. Menggerakkan harakah tanpa pemahaman terhadap
hadharah akan membuatkan sebuah perjuangan itu seolah-olah kehilangan roh
kerana pada akhirnya jamaah akan terpesona dengan ‘keindahan’ nikmat-nikmat
duniawi yang menggoda. Akhirnya,sebuah perjuangan tidak lebih hanya akan
bersifat perjuangan materialistik dan setiap ahlinya akan banyak bersifat ‘nafsi-nafsi’
yakni mempunyai kepentingan sendiri. Malahan, permasalahan jamaah yang terlalu
taksub sehingga tidak boleh ditegur juga akan menjadi semakin melarat-larat dan
merebak kepada generasi lain seperti sebuah virus yang tak mampu dibuang!
Sebagai
kesimpulannya, haruslah difahami bahawa harakah itu adalah sesuatu yang mampu
bertukar-tukar seiring dengan peredaran zaman. Tetapi,jika asas pemahaman
hadharah itu adalah kuat, maka sebuah gerakan itu dapat bertahan dengan prinsip
yang tidak mampu diubah oleh sesiapa sekalipun walaupun diserang bertubi-tubi
dengan pelbagai bentuk ideologi yang terkadang seakan mengarut untuk difahami
oleh akal yang sihat seperti sekularisme. Golongan yang disebut di dalam
al-quran sebagai ulul albab adalah golongan intelektual yang mampu berfikir
secara kritis dan bukan sahaja hanya tertumpu di dalam buku. Maka, dalam proses
menggerakkan harakah, pemantapan hadharah perlu diseiringkan dengan pelbagai
jenis ilmu yang dapat menepis serangan bertalu dari pihak musuh.
Rujukan daripada Ibn Ramadhan,Wan Ahmad Fayhsal dan Dr.Amran Muhammad
Rujukan daripada Ibn Ramadhan,Wan Ahmad Fayhsal dan Dr.Amran Muhammad
No comments:
Post a Comment