Perbincangan dimulakan dengan tayangan video, seterusnya diikuti dengan pembentangan beberapa fakta mengenai latar belakang Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) oleh saudara Amar, seperti kronologi BERSIH 1.0 hingga 3.0, tuntutan-tuntutan BERSIH, dan pengedaran hasil survey yang telah diedarkan kepada 263 responden. Melalui maklumat yang dikumpulkan, tuntutan-tuntutan untuk mendapatkan sebuah pilihanraya yang bersih dan adil hanya diberitahu ketika perhimpunan BERSIH 2.0 yang pada waktu itu telah dipengerusikan oleh S.Ambiga bagi menggantikan pengerusi BERSIH 1.0 iaitu Syed Syahir Syed Mohamud yang merupakan bekas presiden MTUC. Antara 8 tuntutan yang telah dinyatakan adalah bersihkan senarai undi, mereformasikan undi, gunakan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, masa kempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah, dan hentikan politik kotor.
Perkara pertama yang menjadi isu dalam perbincangan pada
malam tersebut adalah mengenai pandangan terhadap perhimpunan BERSIH yang mana
ada yang mengatakan bahawa perhimpunan itu sebagai haram dan tidak wajar
dilaksanakan. Isu ini telah dibalas secara ilmiah dengan pandangan balas bahawa
perhimpunan ini tidak seharusnya hanya dinilai daripada sudut metodologi
semata, malah perkara utama yang patut diberikan tumpuan adalah kepada
tuntutan-tuntutan yang dibuat. Fakta yang dikemukakan menunjukkan bahawa
Malaysia berada di kedudukan ke-60 antara negara yang menghadapi korupsi, di
samping lima buah negara besar lain yang di antaranya adalah Arab Saudi dan
Rusia. Jumlah korupsi yang harus ditanggung oleh Malaysia adalah sebanyak 1.077
trillion bukanlah satu jumlah yang sedikit dan patut dipandang enteng oleh
rakyat.
Isu mengikut telunjuk kafir yang dipanaskan oleh mahasiswa
yang hadir juga adalah antara yang menjadi perbahasan hangat. Ramai yang
berpendapat bahawa S.Ambiga bukanlah seorang pemimpin yang boleh diikuti
memandangkan beliau bukan beragama Islam telah dihujahkan secara baik oleh
mereka yang hadir. Seperti yang diketahui, pengerusi bersama pada perhimpunan aman
BERSIH 3.0 kali ini adalah Datuk A.Samad Said. Justeru,sentimen perjuangan
bangsa dan agama yang dimainkan tidak seharusnya menjadi hujah perbahasan.
Mahasiswa Fakulti Kontemporari Islam juga mengetahui bahawa adanya kerjasama di
antara Rasulullah dan kaum kafir suatu masa dahulu.
Isu terakhir yang diangkat menjadi perbahasan adalah
relevensi kebebasan media yang juga menjadi salah satu tuntutan BERSIH. Hujah
balas yang diberikan memberi sedikit pencerahan di mana kebebasan media adalah
sangat penting agar masyarakat lebih lagi masyarakat di luar bandar tidak
tertutup minda dengan pembohongan serta laporan sebelah pihak oleh pihak
tertentu demi menjaga periuk nasi mereka sendiri. Berdasarkan fakta, Sweden dan
Denmark adalah antara negara yang kurang dilanda masalah korupsi kerana
terdapat kebebasan media di mana mereka melancarkan ‘Open Budget Index’ .
Persoalan seperti apakah yang dimaksudkan dengan korupsi dalam sistem media
telah terjawab apabila media kini begitu berat sebelah dalam melaporkan sesuatu
berita kerana media yang ada kini yakni media cetak telah ‘digenggam’ oleh
parti politik. Akta bagi media cetak seharusnya dikuatkuasakan secara
menyeluruh dan ditekankan agar tidak terjadi penyekatan kepada kebebasan media.
Mahasiswa juga berpendapat bahawa laporan yang dibuat oleh media tidak
seharusnya mempunyai perkataan-perkataan yang membawa doktrinisasi kepada
pemikiran rakyat dengan istilah seperti ‘parti kerajaan’ dan ‘parti
pembangkang’.
Antara yang dapat disimpulkan mengenai BERSIH dari sudut mahasiswa
adalah perhimpunan seperti ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah sebuah
negara yang dapat menyatupadukan semangat antara kaum dengan dilihat kepada
hadirin yang menyertai perhimpunan pada 28 April tersebut, malahan perhimpunan
itu juga sebuah perhimpunan yang wajar apabila dilihat kepada tuntutan yang
dibangkitkan. Perhimpunan BERSIH juga dilihat sebagai sebuah perhimpunan yang
aman setelah dinilai melalui video yang menunjukkan keadaan 10 jam sebelum
hura-hara bermula. Kemungkinan yang tidak dapat ditolak adalah adanya provokasi
yang dilakukan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan tidak lebih
hanya untuk melihat perpecahan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi
dan bebas bersuara. Info yang disiarkan dalam media elektronik juga seharusnya
dikawal supaya tidak terjadi lambakan informasi yang seterusnya membawa kepada
perasaan muak kepada pelajar dan menutup 8 tuntutan yang seharusnya diberi
keutamaan dan fudemental. Mahasiswa juga seharusnya berdiri di atas pegangan
sendiri dan tidak boleh terikut-ikut dengan sikap partisan yang membawa kepada
kejumudan idea dalam memberikan hujah yang neutral. Sebagai mahasiswa, individu
perlu bersuara lantang dan perlu sentiasa berfikiran kreatif untuk tujuan
percambahan ilmu. Pendapat bahawa metodologi demonstrasi perlu dinilai semula
juga diutarakan agar rakyat marhaen tidak lagi melihat perhimpunan seperti ini
dengan pandangan skeptik dan negatif.
Diskopi Mahasiswa kali ini tamat pada jam 11.50 malam.
No comments:
Post a Comment