Saturday 26 May 2012

Diplomasi @ Demonstrasi: Apa Kata Mahasiswa?


Pada 23 hb Mei 2012, Executive Caretaker Unisza dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar UniSZA telah menganjurkan Bicara Siswa bertempat di Speaker Corner Unisza. Tiga ahli panel telah dijemput antaranya ialah Saudari Siti Saodah Binti Zakaria mewakili Executive Caretaker Unisza, Saudara Aliff Bin Masli mewakili Flairsoc dan Saudara Ahmad Fauzi Bin Ahmad mewakili PMKI. Kehadiran mahasiswa Unisza agak mendukacitakan, dianggarkan hanya sekitar dua puluh mahasiswa yang hadir untuk menyaksikan forum ini meskipun jika dijadikan tajuk perbincangan sebagai kayu ukur, pastinya pihak penganjur mengharapkan ia mampu menarik perhatian mahasiswa untuk turut serta.

Sepanjang forum berlangsung, dapat dilihat skop perbincangan hanya berlaku dalam kerangka yang kecil. Sikap pesimis ahli panel dalam membincangkan tajuk forum juga mewujudkan suasana perbincangan yang kurang sihat. Ini dapat dilihat apabila ahli panel lebih selesa untuk mengambil fakta dan peristiwa yang berada di zon selamat dan mereka gagal untuk mengheret perbincangan ke dalam satu dimensi baru yang mampu memberi pencerahan kepada mahasiswa yang hadir.

Antara penghujahan paling selamat yang diberikan adalah contoh yang diberikan oleh Saudara Ahmad Fauzi Bin Ahmad. Beliau mengatakan bahawa hadis yang diambil untuk menghalalkan demostrasi selalunya adalah hadis yang disanadkan dhoif dan adalah tidak wajar untuk beramal dengan hadis seperti ini sama sekali. Kita menerima periwayatan hadis lemah adalah tidak wajar untuk diamalkan, namun adalah sangat menghairankan mengapa beliau tidak langsung menjelaskan dan menggunakan hadis dengan sanad yang kuat sebagai contoh. Berikut adalah hadis yang membenarkan demostrasi dengan sanad yang sahih;


“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).


Adakah Sheikh Yusof Qardhawi sangat naïf apabila menyeru supaya rakyat Mesir suatu masa dahulu turun kejalan untuk menjatuhkan regim. Saranan ikhlas kepada pimpinan mahasiswa tersebut semoga berhati-hati apabila mengeluarkan hujah agama. Adalah sangat tidak wajar bagi seorang bakal agamawan mendustakan kata-kata Allah dan Rasulnya dan sudah pasti ini bukanlah konsep sir wa hazzar yang sentiasa dilaung-laungkan.

Disamping itu juga dapat dilihat Saudara Aliff seringkali menggunakan pendekatan sentimen buruk apabila mengutarakan fakta dan perisitiwa berkenaan demostrasi. Mengapa sepanjang forum berlangsung, beliau sama sekali tidak menyentuh demostrasi mahasiswa yang berlaku pada awal era 70an yang memperjuangkan nasib rakyat. Antara demostrasi mahasiswa yang paling memberi impak besar adalah Demostrasi Baling yang berlaku pada tahun 1974, dimana mahasiswa ketika itu turun kejalan memperjuangkan nasib rakyat miskin di Baling. Disamping itu beliau tidak langsung membicarakan tentang fenomena arab spring yang menggunakan methodologi demostarsi untuk menjatuhkan regim yang zalim.

Kesimpulannya dapat dilihat bahawa forum Bicara Siswa kali ini hanyalah sekadar pelengkap kepada jadual program bagi Executive Caretaker UniSZA. Ketiga-tiga ahli panel yang dijemput dilihat tidak mampu untuk membincangkan isu dengan matang dan banyak mengeluarkan pandangan serta pendapat hanya atas dasar persepsi dan bukannya atas dasar ilmu yang telus. Bicara Siswa yang berlangsung kali ini hanya sekadar seperti sembang kedai kopi dan forum ini sama sekali gagal menunjukkan bahawa mahasiswa mempunyai idealisma dan gaya pemikiran  yang matang dalam membahaskan sesuatu isu.

Namun dalam pada itu, pujian harus juga diberikan kepada penganjur kerana dapat memperbanyak program berbentuk ilmiah seperti forum dan wacana yang mampu menyuburkan semula demokrasi yang kian mati di dalam kampus.

No comments:

Post a Comment