1.
Seluruh rakyat, khususnya mahasiswa menyambut
baik hasrat Perdana Menteri yang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara demokrasi terbaik di dunia.
2.
Melalui semangat yang sama, kami membina pendirian
berkaitan isu AUKU, yang mana kami kira isu ini merangkumi kerangka yang lebih
luas, tidak hanya sekadar berkaitan dunia universiti, malah juga berkaitan tulang
belakang sistem negara iaitu demokrasi berparlimen.
3.
Pendirian kami jelas, iaitu Akta Universiti dan
Kolej Universiti tidak cukup jika hanya dipinda, malah ia harus dimansuhkan
terus. Hal ini berdasarkan beberapa kewajaran yang akan kami nyatakan di bawah.
4.
Kami petik kata-kata Presiden Bar Council, Lim
Chee Wee yang bersangkut paut dengan AUKU iaitu, ‘Freedom is not privilege, but
right’ 1. Hal ini merujuk kepada kebebasan rakyat adalah hak semula
jadi yang terwujud sejak kita lahir lagi, dan bukanlah satu pemberian dari
mana-mana pihak. Ia tidak boleh dihalang atau diganggu-gugat, walau dengan
undang-undang sekali pun.
5.
Undang-undang yang digubal pada tahun 1971 ini telah
memberikan impak yang pelbagai, dan pastinya akta ini lebih memberikan kesan
buruk daripada kesan baik. Hakikat ini disebut oleh banyak pihak 2,
termasuklah pakar perlembagaan negara Prof Abdul Aziz Bari. Beliau menyebut :
“Tetapi tidak salah dikatakan bahawa AUKU cukup berguna bagi parti kerajaan
kerana ia menjadi hantu yang menakutkan
para akademik dan mahasiswa. Ini kerana peruntukan di dalam AUKU dibuat dengan
begitu rupa supaya para pentadbiran universiti dan menteri mempunyai kuasa yang
luas: AUKU dicipta supaya penyalahgunaan kuasa dapat diharuskan. Ini berlaku
kerana mereka mempunyai kuasa budibicara yang luas.”3
6.
Beliau juga berpendapat bahawa AUKU tidak selaras
dengan tujuan negara dalam melahirkan modal insan yang berkualiti. Budaya
menakut-nakutkan rakyat dengan akta ini sesungguhnya bertentangan dengan budaya
pembangunan negara yang sihat. Juga, banyak penulisan4 yang dibuat oleh
pemerhati politik barat membuktikan bahawa konsep ‘political of fear’ yang
disajikan oleh pemerintahan Bush telah gagal sama sekali, dan harus ditukar
kepada konsep ‘political of hope’ yang dipercayai lebih kukuh dan mampu memacu
kemajuan negara di samping menghormati nilai-nilai kemanusian sejagat.
7.
Akta ini, sejak dari pindaannya pada tahun 1975
dan 2009 telah mewujudkan suatu suasana ketakutan dalam segenap masyarakat
universiti, tidak kira mahasiswa mahupun ahli akademia. Akta ini telah menjadi
tembok penghalang paling ampuh dalam menyekat suara dan gerak kerja mahasiswa,
seterusnya telah mematikan aktivisme mahasiswa. AUKU juga telah menyemai budaya
dan semangat menghukum yang menebal di kalangan pentadbir dan bukannya budaya
mendidik.
8.
Antara elemen terpenting demokrasi adalah
partisipasi rakyat dalam sistem itu sendiri. Sistem negara kita mengamalkan
sitem demokrasi berparlimen sejak dari hari Merdeka lagi. Apabila menyebut tentang
konsep berparlimen, sudah tentu ia berkait rapat dengan parti-parti politik.
Seksyen 15 AUKU sesungguhnya telah mengikat mati mahasiswa untuk terlibat
dengan parti politik. Mahasiswa tidak boleh menyatakan simpati, bangkangan atau
sokongan kepada mana-mana parti politik.
9.
Adalah malang jika rakyat sendiri dihalang untuk
terlibat secara langsung dalam sistem tersebut, dan lebih parah lagi jika
rakyat mula kecewa dan putus asa dengan sistem yang sedia ada. Keadaan seperti
ini harus diselamatkan secepat mungkin sebelum ia terlambat.
10.
Antara hujah dari pihak yang mempertahankan AUKU
adalah bahawa mahasiswa belum matang untuk berpolitik. Soalnya, apakah penanda
aras bagi kematangan tersebut? Jika dilihat dari sisi undang-undang, ternyata,
mahasiswa sudah matang kerana undang-undang kita sendiri memperakui bahawa umur
18 tahun sudah pun mencapai umur majoriti dan umur 21 tahun sudah pun layak
untuk mengundi. Dengan lain kata, mereka yang berumur 21 tahun dan ke atas
sudah pun layak untuk menentukan masa depan negara. Adakah mereka belum layak
untuk menentukan masa depan diri mereka sendiri?
11.
Dalam Pengisytiharan Kemerdekaan negara ada
menyebut:
‘AND WHEREAS by the Federal Constitution aforesaid provision is
made to safeguard the rights and prerogatives of Their Highnesses the Rulers
and the fundamental rights and liberties of the people and to provide for the
peaceful and orderly advancement of the Persekutuan Tanah Melayu as a
constitutional monarchy based on Parliamentary democracy’
Negara kita ternyata menjunjung konsep
demokrasi berparlimen dan disokong dengan konsep kedaulatan undang-undang atau
rule of law yang menjamin keadilan setiap warganegaranya.
12.
Konsep kedaulatan
undang-undang ini juga diterangkan secara jelas dalam esei yang ditulis oleh
Prof Abdul Aziz Bari:
‘Kedaulatan undang-undang mengungkapkan
undang-undang yang adil dan saksama sedangkan kawalan undang-undang atau rule
by law lebih bertumpukan kepada undang-undang yang bersifat positif, yang tidak
semestinya adil dan saksama.’5
13.
Kami melihat, AUKU hanyalah satu kawalan
undang-undang dan bukannya undang-undang yang berdaulat. Hal ini boleh
dibuktikan melalui beberapa seksyen dalam AUKU yang melanggar konsep asas
keadilan dalam undang-undang. Ini termasuklah Seksyen 15D (1) (a) yang memberi
kuasa kepada pentadbiran universiti untuk menggantung mana-mana mahasiswa yang
baru dituduh melakukan kesalahan. Hal ini jelas bertentangan dengan konsep asas
undang-undang iaitu ‘Homo
Praesumitur Bonus Donec Probetur Malus’
(one is innocent until proven guilty).
14.
Seterusnya Seksyen 16 B (3) yang memberi kuasa
penuh kepada Naib Cancellor untuk melantik dan mewakilkan fungsi beliau dalam
jawatankuasa tatatertib. Hal ini bertentangan dengan konsep undang-undang yang
menolak bias (no one may be judge in his own cause).
15.
Apa yang disebut di atas hanyalah sebahagian
sahaja. Banyak lagi seksyen yang juga bertentangan dengan undang-undang
umumnya, dan konsep demokrasi khususnya.
16.
Kami di Pengkritik MPP UniSZA ingin bertegas, Akta
ini haruslah dimansuhkan secepat mungkin, tanpa ada dolak-dalihnya lagi. Kami
penuh yakin dan percaya bahawa jika Akta ini masih kekal, rakyat keseluruhannya
tidak akan memahami konsep demokrasi secara tuntas dek kerana anak mudanya dan
cendiaka-cendiakanya tidak diberi peluang secara bebas melibatkan diri dalam
sistem yang menjadi tunjang negara kita.
17.
Kami mencadangkan kepada pihak Ahli Jawatankuasa
pindaan AUKU (2011) supaya yang pertama, mendengar suara rintih anak muda yang
prihatin terhadap masa depan negara tercinta kita Malaysia. Kedua, memansuhkan
Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) secara total, tanpa
teragak-agak dengan kesan dan akibatnya, kerana mahasiswa dan rakyat penuh
percaya bahawa impaknya adalah positif. Ketiga, suatu Akta baru digubal bagi
memelihara dan menjamin hak dan autonomi universiti, seterusnya menjamin
kelansungan kefahaman terhadap konsep demokrasi yang sebenar.
18.
Sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin di atas
sana meletakkan kepercayaan kepada anak muda dan meyakini bahawa anak muda
adalah pemimpin dan pemacu ketamadunan negara, pada masa kini dan masa hadapan.
Rujukan:
1.
Dalam Meja Bulat Pindaan AUKU di Kuala Lumpur,
17 Disember 2011
2.
Saifuddin Abdullah, Ebook ‘Kalau Saya Mahasiswa’
, ms 26
3.
Abdul Aziz Bari, Perlembagaan Malaysia Teori
& Praktis, Arah Publications, Shah Alam, ms 366 – 368
5.
Dr. Abdul Aziz Bari, Kebebasan dan Hak-Hak Asasi
di Bawah Perlembagaan Persekutuan – Satu Analisis Umum
No comments:
Post a Comment