Friday 25 May 2012

Apa Itu Perlembagaan Persekutuan?


Pengenalan

Perlembagaan Persekutuan Malaysia (“Perlembagaan”) adalah dokumen yang paling penting di dalam negara kita kerana ia menentukan landasan negara kita.

  1. Ia mewujudkan sistem demokrasi kita
  2. Ia menghadkan kuasa kerajaan
  3. Ia menyatakan hak-hak kita

Mengapa Anda Harus Tahu Apa Yang Terkandung Dalam Perlembagaan?

Perlembagaan adalah undang-undang utama negara kita. Ini bermakna Perlembagaan menentukan siapakah yang boleh menggubal undang-undang, dan menghadkan undang-undang yang boleh digubal. Perlembagaan menentukan cara hidup kita dan bagaimana kita
diperintah. Contohnya:

  1. Kita adalah rakyat Malaysia kerana Perlembagaan menyatakannya
  2. Kita boleh memilih pemimpin-pemimpin kita kerana Perlembagaan menyatakannya
  3. Kita mempunyai Parlimen yang menggubal undang-undang kerana Perlembagaan menyatakannya
  4. Kita mempunyai mahkamah dan para hakim kerana Perlembagaan menyatakannya
  5. Kita mempunyai Kerajaan Persekutuan dan tiga belas Kerajaan Negeri kerana Perlembagaan menyatakannya
  6. Hak asasi kita dijamin kerana Perlembagaan menyatakannya


Apakah Yang Terkandung Dalam Perlembagaan?


Perlembagaan mengandungi 16 Bahagian.

Bahagian I: Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang Persekutuan

Negara kita adalah sebuah persekutuan yang dianggotai tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan.

Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni.

Perlembagaan adalah undang-undang utama Persekutuan. Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak sah.

Bahagian II: Kebebasan Asasi

Bahagian ini menyatakan kebebasan-kebebasan asasi yang kita miliki:

  1. Hak untuk hidup dan kebebasan
  2. Kebebasan daripada kehambaan dan menjadi buruh paksaan
  3. Kesamarataan di sisi undang-undang
  4. Kebebasan bergerak
  5. Kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu
  6. Kebebasan agama
  7. Hak untuk berpendidikan
  8. Hak untuk memiliki harta


Bahagian III: Kewarganegaraan

Seseorang itu menjadi warganegara Malaysia dengan cara:

  1. dilahirkan di sini
  2. berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia
  3. tinggal secara sah di dalam negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan

Bahagian III juga menyatakan bagaimana kita boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegaraan.

Bahagian IV: Persekutuan

Bahagian ini mewujudkan sistem kerajaan kita.

Ketua Utama Persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja Negeri-Negeri dan juga Yang Dipertua bagi Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja.

Bahagian IV juga mewujudkan Kabinet dan pejabat Perdana Menteri. Bahagian ini juga mewujudkan Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


Bahagian V: Negeri-Negeri

Setiap Negeri mempunyai perlembagaannya sendiri dan badan perundangan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri mempunyai hak dan
keistimewaan mereka.


Bahagian VI: Hubungan di antara Persekutuan dan Negeri-Negeri

Bahagian ini menyatakan pembahagian kuasa di antara Persekutuan dan Negeri-Negeri. Terdapat perkara di mana Parlimen Persekutuan boleh menggubal undang-undang, terdapat perkara di mana Dewan Undangan Negeri boleh menggubal undang-undang dan terdapat juga perkara tertentu di mana kedua-duanya boleh menggubal undang-undang.


Bahagian VII: Peruntukan Kewangan

Bahagian VII menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang.


Bahagian VIII: Pilihanraya

Bahagian VIII menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita.

Badan yang ditugaskan untuk menjalankan kesemua pilihanraya dan menyediakan daftar pemilih yang dikenali sebagai “Suruhanjaya Pilihanraya”. Suruhanjaya Pilihanraya ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan sewajarnya menikmati keyakinan umum.


Bahagian IX: Badan Kehakiman

Bahagian IX mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh mahkamah-mahkamah di
Malaysia.

Bahagian IX juga menyatakan bagaimana hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dilantik.


Bahagian X: Perkhidmatan-perkhidmatan Awam

Bahagian ini mengenalpasti perkhidmatan awam di Malaysia, termasuklah:
  1. pasukan polis
  2. angkatan tentera
  3. perkhidmatan pelajaran

Ia juga merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian serta Kerajaan-kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri.

Perlantikan, kenaikan pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh “Suruhanjaya-suruhanjaya” dan anggota Suruhanjayasuruhanjaya ini secara umumnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bahagian X juga mewujudkan pejabat Peguam Negara.

Bahagian XI: Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang, dan Perbuatan dan Jenayah yang Memudaratkan Orang Awam dan Kuasa Darurat

Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undangundang yang boleh membelakangi hak-hak lain di dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas sebabsebab keselamatan awam.

Bahagian XIII: Am dan Pelbagai

Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk:
  1. memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak.
  2. memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti lain.

Bahagian ini juga menyatakan bagaimana pindaan boleh dilakukan ke atas Perlembagaan.


Bahagian XIIA: Perlindungan Tambahan bagi Negeri Sabah dan Sarawak

Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak, contohnya, perizaban tanah pribumi bagi masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak.


Bahagian XIII: Peruntukan Sementara dan Peralihan

Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang digubal sebelum Merdeka masih berkuatkuasa sehinggalah Parlimen menggubal undang-undang baru untuk menggantikan mereka.


Bahagian XIV: Kecualian bagi Kedaulatan, dsb &

Bahagian XV: Prosiding terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Kedaulatan, kuasa, perogatif dan bidang kuasa Raja-Raja dipelihara di dalam Bahagian XIV. Di bawah Bahagian XV, prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja harus dibawa di hadapan “Mahkamah Khas”.


Sumber di sini.

No comments:

Post a Comment