Pada Khamis 12 Mei 2012, Kelab Pemikir telah mengadakan satu
forum yang bertajuk Aktivisma Mahasiswa Pasca Auku 12’. Antara panel yang
terlibat adalah Dr. Mohd Affandi bin Salleh dari Fakulti Undang-undang dan
Hubungan Antarabangsa (FUHA), En. Mohamad Hafis bin Amat Simin dari Fakulti
Kontemporari Islam (FKI) dan Mohd Isa bin Yusof; mantan Presiden Majlis
Perwakilan Pelajar sesi 2010/2011 merangkap ‘Caretaker’ UniSZA.
Majlis dimulakan dengan tayangan video mengenai AUKU dan sedikit penerangan daripada moderator mengenai AUKU. Panel pertama iaitu Dr. mohd Affandi telah diberi persoalan mengenai tujuan utama AUKU digubal. Beliau yang mengajak mahasiswa untuk memahami situasi pada zaman sebelum AUKU digubal yang diambil dari buku Mahasiswa Menggugat, yang mana dikatakan lebih tepat faktanya kerana penulis adalah seorang mahasiswa pada masa tersebut iaitu tahun 1973.
AUKU dilihat penting
untuk mengawal aktivisma pelajar dan juga politik pelajar. Antara sebab kawalan
yang dilihat relevan adalah kerana ‘kekuatan suara’ mahasiswa di seluruh dunia
pada waktu tersebut yang hebat dalam memberi pandangan dan menyebarkan
idealisme mereka. Pada waktu tersebut, pelajar begitu terbuka dan lantang dalam
memperjuangkan idealisme dan segala isu yang dirasakan penting termasuklah
isu-isu rakyat seperti perang Vietnam, isu tanah dan juga tidak ketinggalan
beberapa idealisme seperti liberal, komunis dan sosialis.
Di universiti Malaya, gerakan mahasiswa digambarkan bersikap
sedikit radikal apabila mereka menyurakan ketidak puasan hati melalui
demonstrasi. Demonstrasi yang kecil menjadi besar dan dibimbangi akan mengancam
kestabilan dan keharmonian negara. Mengambil salah satu punca demonstrasi yang
terjadi kerana perkara yang dianggap kecil pada waktu kini adalah demo yang
menentang paparan cerita ‘Oh Awanku Sayang’, di mana cerita tersebut
mengisahkan tentang sekumpulan mahasiswa yang menjalankan aktiviti baktisiswa
namun bertukar menjadi tragedi apabila ada penduduk kampung yang telah
dibuntingkan oleh mahasiswa. Cerita ini telah menimbulkan kemarahan pelajar
pada waktu tersebut yang berpendapat cerita ini telah menjejaskan imej
mahasiswa yang sepatutnya dipandang sebagai jurubicara rakyat bukan pemusnah maruah
rakyat.
Isu rakyat juga menjadi salah satu perjuangan yang hangat
dibicarakan dan diangkat oleh mahasiswa pada zaman tersebut dan mereka juga
tidak terlepas dalam memperjuangkan isu perkauman pada suatu waktu tersebut
iaitu ketika 13 Mei, pada ketika ini lah,kerajaan berpendapat, jika sesuatu
tidak dilaksanakan terhadap kelantangan suara mahasiswa, maka kestabilan negara
akan tergugat, dan apa yang lebih ditakuti oleh pihak kerajaan adalah rata-rata
pelajar yang bangkit bersuara adalah dari pihak pro-pembangkang. Kerajaan yang
berasa tercabar akhirnya mengambil keputusan untul mengawal suara-suara pelajar
ini. Dr. Affandi juga berpendapat bahawa AUKU tidak seharusnya diberi fokus
hanya kepada seksyen 15 sahaja.
Persoalan seterusnya kepada panel kedua adalah apakah punca
kebangkitan pelajar yang kini hangat dibualkan. En. Hafis telah memberi sedikit gambaran awal
mengenai rangka perjalanan sebelum, semasa dan selepas AUKU itu digubal supaya
pelajar lebih memahami tujuan sebenar kebangkitan pelajar. Fasa 1959-1963 yang
dinamakan sebagai ‘Student Unity’. Pada waktu ini pelajar di Universiti Malaya
(pada waktu hanya Universiti Malaya yang baru tertubuh), mempunyai ‘Union’
mereka sendiri yang telah diberi nama sebagai UMSU (University Malaya Student
Union),yang mana memperlihatkan autonomi pelajar. UMSU adalah satu badan yang
telah menguruskan segala perkara, dan pada waktu itu taraf mahasiswa adalah
tinggi. Dengan bayaran RM 10, UMSU adalah satu pihak yang bertanggungjawab
meletakkan segala polisi.
Pada waktu ini,pelajar tidak perlu memirkirkan tentang
pembiayaan diri seperti sekarang yang mana pelajar perlu meminjam kepada PTPTN
untuk menampung kos sara belajar yanbg tinggi di pusat pengajian masing-masing.
Sebuah tabung untuk menjaga kebajikan mahasiswa telah diuruskan dengan baik
oleh UMSU.
Lebih daripada itu, UMSU juga sering merencana
program-program ilmiah berbentuk kepimpinan dan daya pemikiran yang kritis
seperti kursus kewartawanan. Terdapat juga perbincangan bersama P.Ramlee secara
ilmiah yang mana pada waktu tersebut pernah dikatakan terdapat seorang
mahasiswa mengkritik filem yang telah dihasilkan oleh P.Ramlee. Tidak kurang
juga, pada waktu itu, mahasiswa dan mahasiswi telah digalakkan untuk menghadiri
beberapa konferens antarabangsa di Filipina, Kemboja dan India.
Namun begitu pemerintah pada waktu itu melihat usaha-usaha
pelajar ini tidak lebih hanya sebagai satu ancaman kepada kestabilan politik
dan pada waktu itu ‘Union’ telah ditukar kepada bentuk Majlis di mana kuasa
autonomi mahasiswa dibataskan dengan campur tangan daripada pihak atasan.
Pada tahun 1964, para pelajar telah melakukan satu
demonstrasi dengan membawa keranda sebagai simbolik kematian hak berfikir dan
menghantar memorandum menunjukkan rasa marah dan bantahan mereka bahawa perkara
yang dilaksanakan ini telah melanggar kebebasan berfikir dan diskusi mahasiswa
yang mana satu identiti kepada intelektualis.
Pada tahun 1965, ‘Dean of Student' yang kini dikenali sebagai
Hal Ehwal Pelajar dan Alumni telah ditubuhkan dengan tujuan untuk mengawal
aktiviti pelajar. Bantahan demi bantahan dilakukan dan antara usaha yang
dijalankan adalah dengan menghantar petisyen, melakukan forum dan juga mengadakan
‘Speakers Corner’.
Kehadiran HEPA dilihat sebagai satu penamatan terhadap
autonomi pelajar yang kini memperlihatkan pelajar yang jumud dan bertindak
setaraf seperti pelajar sekolah menengah yang hanya tahu tentang diri sendiri
dan tidak mengendahkan dunia sekeliling. Pelajar juga dilihat kini tidak cakna
dengan isu masyarakat, malahan kebebasan akademik juga terbantut dengan pembuktian
jelas mahasiswa menjadi pasif dan pengecut dalam memberikan pendapat, pandangan
dan persoalan ketika sesi pembelajaran dan di luar kelas.
Adakah seharusnya AUKU itu dimansuh atau dipinda telah
dijawab oleh saudara Isa dengan mengatakan bahawasanya AUKU itu relevan apabila dilihat kepada perkara-perkara lain.
Saudara Isa menekankan kepada 3 pihak yang perlu bertanggungjawab dalam
memobilasi isu AUKU ini iaitu GAM yang mewakili G-kerajaan, A-admin, dan
M-mahasiswa.
Persoalan mansuh atau pinda dikatakan sebenarnya telah
dijawab dengan keterbukaan kerajaan yang telah meminda salah satu akta yang
mana memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik. Salah satu solusi
yang dicadangkan oleh Saudara Isa adalah, kerajaan perlu memperbanyakkan
program yang bersifat nasional supaya dapat mendidik mahasiswa akan peri
pentingnya AUKU ini terus dilaksanakan. Kerajaan juga harus tahu bagaimana
untuk menarik mahasiswa supaya tidak memandang AUKU sebagai satu perkara yang
negatif.
Dari sudut pengurusan pula, mereka perlu mengadakan lebih
banyak lagi penerangan tentang AUKU dan menghantar mahasiswa ke program-program
yang berbentuk pencerahan. Mahasiswa pula perlu berdikari dengan mempunyai
inisiatif sendiri untuk mengambil tahu tentang AUKU dengan lebih mendalam dan
tidak cuma bertanya kepada rakan-rakan yang mungkin hanya mempunyai pemahaman
yang sederhana mengenai akta-akta yang terkandung di dalam AUKU.
Malahan,dicadangkan juga supaya setiap mahasiswa mempunyai simpanan AUKU
sebagai satu pemilikan peribadi mahasiswa.
Pada pusingan kedua, persoalan yang telah dilontarkan adalah
berkenaan adakah AUKU menjamin hak kebebasan bersuara (panel pertama), tugas
siapa bagi menyuarakan untuk memansuhkan atau meminda AUKU (panel kedua) dan
kesan pemansuhanAUKU kepada aktivisme dan persediaan yang perlu dilakukan dalam
menghadapi pemansuhan AUKU (panel ketiga).
Sebagai menjawab persoalan mengenai jaminan hak mahasiswa
untuk bersuara, perkara ini dilihat oleh pihak kerajaan dengan politik yang
tidak terkawal akan membuatkan negara menjadi lebih teruk dan inilah asas
kepada seksyen 15. Namun begitu, dasar ini merupakan satu punca kepada
penyekatan idealisme. Melihat kepada persoalan kewajaran penyekatan suara,
telah menimbulkan satu lagi iaitu apa fungsi mahasiswa yang mana mahasiswa kini
melihat diri mereka dikawal dan juga mahasiswa kini lebih terlihat sebagai
pelajar sekolah yang mana tidak mempunyai kebebasan membuat keputusan sendiri.
Ketidak jujuran juga terlihat apabila kerajaan tidak serius
dalam memberi kebebasan bersuara kepada pelajar. Sesebuah tamadun adalah
terlahir daripada kebebasan yang diberikan kepada manusia untuk memberikan
pendapat. AUKU juga seolah telah berjaya menjadikan mahasiswa sebagai mahasiswa
yang jumud dan mundur apabila tidak tahu dan tidak mahu mengambil tahu mengenai
isu-isu semasa yang berlegar di dalam negara sendiri berbanding paza zaman
dahulu, sebagai contoh melihat kepada kes Hamid Tuah yabg berani mengangkat isu
rakyat.
Oleh itu, mahasiswa disarankan supaya memahami pendidikan
politik yang mana ia merupakan satu usaha untuk membentuk, memberi keyakinan
dan ilmu untuk memahami realiti tentang isu-isu seperti ekonomi dan sosial
serta mahasiswa diingatkan supaya tidak bersikap partisan. Maka, mahasiswa akan
sedar makna tanggungjawab dan nilai yang ada pada diri sebagai mahasiswa. Oleh
itu, kebebasan bersuara perlu diberi dan mahasiswa seharusnya tidak takut
kepada doktrinisasi undang-undang yang mengahalang hak-hak bersuara selagi mana
perkara yang diperkatakan adalah benar.
Memberi pandangan mengenai persoalan tugas siapa untuk
menyuarakan meminda atau memansuhkan AUKU,panel telah berkongsi pengalaman
peribadi beliau di UKM sebagai salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar, di
mana beliau mengutarakan proses pilihan raya yang terdapat di UKM dan UniSZA
adalah berbeza. Beliau memberi pandangan bahawa MPP bertanggungjawab dalam
memberi pendedahan tentang AUKU. AUKU sebenarnya tidak sahaja terpalit kepada
mahsiswa, malahan juga kepada universiti di mana universiti kini telah menjadi
satu badan yang dipolitikkan dan seterusnya menjadikan pelajar pasif dan jumud
serta tidak mampu berdikari.
MPP juga tidak sepatutnya bersikap mementingkan periuk nasi
sendiri dan perlu lantang dalam bersuara bukannya menjadi pelajar yang menurut
perintah serta dikawal oleh badan universiti. Solidariti perlu ditunjukkan oleh
MPP dengan bersuara tegas melawan kezaliman yang dilakukan dengan bersikap
tegas dan bersuara lantang menyuarakan pendapat mereka untuk menghalang
penindasan terhadap mahasiswa, bukan sahaja di dalam univeristi mereka tetapi
mahasiswa dari aspek keseluruhannya dengan mengambil contoh kezaliman terhadap
penarikan pinjaman yang telah dilakukan terhadap pelajar Yayasan Terengganu.
Memetik perkara ini, En. Hafiz juga mengatakan bahawa tidak
seharusnya ‘caretaker’ itu dilantik daripada kalangan MPP sendiri kerana bidang
tugas yang ada di antara ‘caretaker’ dan MPP adalah berbeza di mana ‘caretaker’
hanya boleh menjalankan dan menguruskan program sahaja bukan lagi berkenaan
urusan-urusan membawa suara pelajar. Birokrasi juga sangat jelas dilihat pada
kepimpinan-kepimpinan yang ada kini di mana jika terlalu banyak birokrasi,ia
akan melahirkan rasa menyampah di kalangan mahasiswa.
Pemilihan kepimpinan
perlu dibuat dengan lebih adil supaya suara-suara pelajar dapat dibawa dengan
baik kepada pihak yang lebih tinggi dan dengan suara yang lebih tegas. MPP kini
dilihat seolah mengamalkan sikap diktator proletariat iaitu tidak mengangkat permasalahan
serius mahasiswa seperti kemelut PTPTN,
kezaliman yang menimpa mahasiswa dan lain-lain kerana MPP telah asyik disogok
dengan kemewahan apabila bermesyuarat dengan Perdana Menteri, lebih malang lagi
apabila MPP mempersoalkan isu remeh seperti ketiadaan papan putih dan kerusi
meja yang mana persoalan seperti ini sepatutnya boleh diberikan kepada pihak
pentadbiran.
Kesan pemansuhan AUKU perlu dilihat dari sudut positif dan
negatif di mana jika dari sudut pandang positif, pemansuhan AUKU ini dilihat
akan memberikan lebih banyak kebebasan dan pelajar dapat kembali kepda zaman
autonomi dahulu, tetapi kebebsan ini akan membuatkan politik kepartian akan
lebih mudah menyelinap masuk ke dalam kampus dan pelajar pula akan leka
berpolitik daripada menjalankan tanggungjawab utama mereka iaitu belajar.
Daripada segi persediaan, panel memberi pandangan bahawa persoalan ini patut
dipulangkan dan ditanya kepada individu sendiri samada mereka sudah mampu atau tidak
untuk menghadapi pemansuhan ini seperti jika pelajar aktif berpolitik,
berkemungkinan mahasiswa akan mula dijauhi oleh rakan-rakan.
Sebagai kesimpulan dari penganjur, masyarakat kini perlu
dibantu, dan isu seperti kebebasan akademik ini memang perlu dibangkitkan malahan
ahli akademik juga perlu sentiasa bersama-sama dengan mahasiswa tetapi
mahasiswa juga perlu bersedia penuh dengan memantapkan dahulu diri sebelum
mendapatkan kebebasan dan sebelum autonomi diberikan kepada mahasiswa.
No comments:
Post a Comment