Penstrukturan
negara Malaysia berteraskan dua prinsip utama, iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan. Prinsip-prinsip ini dipercayai telah berjaya mengekalkan
kestabilan serta keamanan negara sejak kemerdekaan negara dengan dipimpin budaya
diplomasi dan perbincangan. Sehinggalah sekitar tahun 1998, keadaan mula
berubah bilamana Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu dipecat dari jawatannya
seterusnya dituduh di mahkamah dengan salah laku seks dan salah guna kuasa. Budaya
demonstrasi jalanan dihidupkan kembali dalam menuntut hak dan keadilan dalam
negara, dan momentumnya berkekalan hingga ke hari ini.
Pembentukkan
pentadbiran negara Malaysia yang berasaskan sistem demokrasi meletakkan kuasa rakyat
dalam memilih pemimpin mereka melalui proses pilihanraya pada setiap 5 tahun.
Namun, terdapat kepincangan dalam sistem ini apabila rasuah, penyalahgunaan
kuasa serta perjuangan atas kapasiti peribadi pemimpin dilaporkan semakin
berleluasa. Kecacatan ini sedikit sebanyak merencatkan pembangunan dan
kematangan budaya demokratik di negara kita dengan unsur-unsur kediktatoran
dibawa masuk melalui masalah ini.Apakah demokrasi
dalam bayangan kediktatoran ini mula bertapak di Malaysia?
Demokrasi tidak hanya muncul 5 tahun sekali sahaja, tetapi ia sewajarnya dijadikan budaya bangsa Malaysia dalam segala hal termasuklah dalam urus tadbir negara pada setiap masa. Ruang-ruang demokrasi harus diizinkan dengan menghormati kewujudan medium seperti forum, meja bulat, dialog dan sebagainya, dengan harapan budaya demokratik ini akan menjadi lebih subur. Rakyat kini lebih matang untuk turut sama berdiskusi tentang bagaimana negara ini ditadbir dan mereka sudah jauh bersedia untuk hal ini.
Jurang
demonstrasi dan diplomasi sudah tentu ada, namun ramai menimbulkan persoalan, adakah
diplomasi itu lebih penting daripada demonstrasi, ataupun sebaliknya? Pemahaman
antara kedua-duanya, bergantung pada kaca mata rakyat dan apa keperluan mereka,
samada mahukan perubahan yang cepat atau mahu terus dalam keadaan yang asal dan perubahan boleh dilakukan secara perlahan.
Diplomasi
jika diteliti secara kasar, tidak memberi kesan kepada perubahan suasa
politik semasa di negara kita secara menyeluruh. Ini kerana diplomasi yang
dikatakan itu diserabuti dengan budaya pilih bulu, mengampu, kronisme dan
nepotisme. Sikap saling bertoleransi dan hormat-menghormati tidak diaplikasikan
di antara pemerintah dan rakyat apabila budaya buruk seperti yang dinyatakan
itu semakin lama semakin menebal. Fitnah, politik ketakutan serta politik lucah
meburukkan lagi keadaan dan secara sengaja ia disembunyikan di sebalik niat
muluk perpaduan dan kesepaduan rakyat.
Semangat
berdiplomasi dalam menyelesaikan sesuatu perkara amatlah dituntut dalam Islam, sebagaimana
tercatitnya dalam sejarah Islam ketika waktu perjanjian hudaibiyah dan peristiwa antara Muawiyah bin Abu Sufiyan dan
Saidina Ali bin Abu Talib. Secara jelas, diplomasi adalah suatu proses yang
lebih matang namun hal ini bukanlah menidakkan saluran atau cara demonstrasi.
Namun realiti
di negara kita adalah, perbezaan ideologi pimpinan tertinggi menyebabkan mereka
berjuang mati-matian dalam menegakkan pendirian mereka tanpa ada tolak ansur. Akibanya,
penolakan diplomasi berlaku, yang mana membawa kepada demonstrasi sebagai jalan
terakhir. Desakan dan pelbagai tuntutan rakyat telah diterjemahkan melalui
proses demonstrasi yang mahukan Malaysia yang lebih baik. Demontrasi mula
dilihat kasar dan ganas apabila sekatan-sekatan berbentuk ugutan dan provokasi oleh
sang pemerintah.
Demokrasi
adalah hak milik bersama,bukan hak milik mutlak golongan tertentu, sewajarnya
ia haruslah mempunyai ruang yang terbuka. Bagaimana suatu ketika dahulu, demonstrasi
ini merupakan medium yang paling berkesan dalam mendesak kerajaan demi
kebajikan rakyat. Meskipun ia diketuai oleh mahasiswa, ia sudah cukup untuk
memberi peringatan kepada sang penguasa ketika itu. Peristiwa kebuluran di
Baling,Tasik Utara malah pelbagai pembongkaran penyelewengan dalam negara, merupakan
kemuncak dimana demokrasi serta demonstrasi diraikan.
Pelbagai
sistem pentadbiran di dunia kini,diwujudkan atas dasar kepercayaan dan
keyakinan rakyat dalam urus tadbir negara. Ia tidak sewenang-wenangnya ada
melainkan atas kepentingan rakyat. Tidak adil bagi kita semua menyalahkan
sistem semata-mata serta bersifat tidak ambil peduli terhadap golongan-golongan
‘elit’ yang mengerakkan sistem ini. Baik buruk sistem ini terletak pada tangan
mereka, diumpamakan jika kita menikam seseorang dengan pisau,persolannya apakah
pisau itu patut dipersalahkan?
Soal
diplomasi mahupun demonstrasi,kita tiada hak untuk menetukan samada itu budaya
kita ataupun tidak, kerana ia berkait rapat dengan perihal hak individu
tersebut. Asasnya disini, jika wujud
hormat-menghormati sesama penguasa,meskipun berbeza
pendapat,demokrasi,diplomasi dan demonstrasi bukanlah suatu isu yang patut
dipolemikkan. Keamanan hanya dapat dicapai jika wujudnya kesepaduan serta tiada
pemusatan kuasa pada satu pihak sahaja.
Rujukan
: Kee Thuan Chye (No More Bullshit,Please,We’re All Malaysian), Prof Mohd Izani
Mohd Zain(Demokrasi dan Dunia Islam)
No comments:
Post a Comment