Sistem demokrasi adalah suatu bentuk idea, dan salah satu cara untuk mengaplikasikan atau merealisasikannya adalah dengan cara pilihan raya. Dalam konteks pemerintahan negara, rakyat yang layak mengundi akan membuang undi pada sekurang-sekurangnya 5 tahun sekali seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Proses pilihanraya yang dijalankan haruslah mematuhi
beberapa prinsip asas idea demokrasi tersebut. Secara logiknya, jika idea
demokrasi itu tidak ditepati, maka proses mengaplikasikan idea tersebut
ternyata sia-sia sahaja. Antara prinsip asas yang dimaksudkan termasuklah
partisipasi rakyat dalam sistem itu sendiri. Oleh itu, jika pilihanraya diadakan,
namun tidak ada partisipasi rakyat, maka sistem demokrasi itu tidak mencapai
maksud sebenarnya.
Pastispasi bermaksud keterlibatan secara langsung atau tidak
langsung seseorang itu terhadap sesuatu perkara. Dalam konteks perbincangan
kita ini, partisipasi itu bermaksud keterlibatan rakyat sebelum, semasa dan selepas
sesuatu keputusan dalam pemerintahan negara dibuat.
Seperti dalam ‘Benarkan Pelajar IPT Anggotai Politik’,
tulisan Dato’ Saifuddin Abdullah menyebut;
“Dalam demokrasi, konsep partisipasi rakyat, adalah merujuk
kepada pendekatam normatif yang melihat partisipasi bermatlamatkan bukan sahaja
mempertahankan fungsi institusi demokrasi, tetapi juga untuk memantau perlakuan
elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan
khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan
politik.”
Konsep partisipasi boleh diterjemahkan dalam bentuk suara
atau pendapat, himpunan secara aman dan berpersatuan seperti mana yang disebut
dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebagai Kebebasan Asasi setiap
warganegara. Ketiga-tiga perkara ini merupakan hak-hak rakyat yang mendasar
sebagai cara atau saluran yang dibenarkan dalam usaha memenuhi tanggungjawab
partisipasi mereka.
Seperti dalam ‘Kebebasan Dan Hak-Hak Asasi Di Bawah
Perlembagaan Persekutuan – Satu Analisis Umum’ oleh Prof Dr. Abdul Aziz Bari;
“Perlu ditegaskan bahawa ketiga-tiga kumpulan hak di bawah
Perkara 10 ini adalah hak-hak yang amat penting dalam proses demokrasi. Sukar
hendak dibayangkan bagaimana sebuah demokrasi boleh beroperasi sebagaimana
seharusnya tanpa ketiga-tiga hak yang mendasar ini. Ketiga-tiga hak ini adalah
landasan dan saluran yang amat penting yang sekaligus berfungsi mengelakkan
politik yang bercirikan keganasan. Dengan kata lain kebebasan bersuara,
berhimpun dan berpersatuan tidak boleh dinafikan sekiranya kita mahu memanggil
sistem kita sebuah demokrasi yang tulen.”
Ketiga-tiga hak asasi ini haruslah difahami sebagai suatu
hak yang secara semula jadi wujud sejak lahir lagi. Walaupun hak ini disebut
dalam Perlembagaan, ia tidaklah dikurniakan oleh penggubal Perlembagaan itu
atau mana-mana pemimpin kerajaan atau ahli Parlimen, tetapi ia sebenarnya
adalah kurnian Tuhan.
Walaupunbagaimanapun, hak tersebut tidak semestinya dapat
digunakan secara maksimum jika ia tidak dikembangkan atau dilatih
penggunaannya. Seorang pemidato atau pendebat dalam suatu pertandingan
contohnya memerlukan keberanian untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat yang
hanya boleh dipupuk melalui latihan dan pendedahan yang mencukupi. Inikan pula
rakyat yang ingin berpartisipasi mengeluarkan pendapat tentang perihal
pemerintahan negara.
Tentu sekali dalam mengaplikasi hak tersebut, latihan atau
pembudayaan dan pendedahan berbentuk informasi amatlah diperlukan. Ia tidak
boleh sekadar berlegar dalam dunia teori dan ayat muluk semata, tetapi harus
diterjemahkan dalam kehidupan seharian, terutama yang berkaitan kehidupan
bermasyarakat yang melibatkan rakyat ramai.
Untuk mendapat kesan yang membumi, pendidikan politik
haruslah disediakan dari peringkat sekolah atau institusi pendidikan lagi.
Budaya demokrasi perlu ditanam dari awal dan latihan secara langsung harus
dijalankan.
Seperti apa yang dijalankan di universiti tempatan pada
setiap tahun iaitu apa yang dinamakan PilihanRaya Kampus adalah satu perkara
yang positif dan bertepatan dengan pendidikan politik yang dimaksudkan.
Sepanjang tempoh diadakan pilihanraya kampus ini, masyarakat kampus seperti
berpesta demokrasi dengan melatih diri membina ideologi perjuangan kumpulan,
membuat manifesto Pilihanraya, berkempen,
dan akhir sekali, membuang undi yang mana melibatkan hampir keseluruhan warga
kampus.
Namun, dengan pengunguman baru yang dibuat oleh Kementerian
Pelajaran Tinggi menangguhkan Pilihanraya Kampus sehingga bulan September
ternyata mengecewakan ramai pihak. Timbalan Naib Canselor HEP UM Prof Rohana
Yusof telah memaklumkan bahawa Pilihanraya Kampus pada September ini kerana mahu
menunggu AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) selesai dibahaskan di
parlimen. Makluman diberikan kepada Bekas Setiausaha MPMUM, Hawari Zakaria.
Hal ini menyebabkan rasa tidak puas hati beberapa kumpulan
dan aktivis mahasiswa termasuk Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM),
Pro-Mahasiswa Nasional dan Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS). Pada
Mac lalu, mereka telah berhimpun secara aman di Putrajaya membantah keputusan
Kementerian tersebut dan menuntut Pilihanraya Kampus diadakan secepat mungkin.
Pihak universiti dan Kementerian tidak mempedulikan tuntutan
mahasiswa, malah secara autokratik mengumumkan akan perlantikan segelintir
mahasiswa yang dikira sesuai oleh Pentadbiran Universiti untuk memegang jawatan
yang dikenali sebagai ‘Executive Caretaker’.
Hal ini ternyata merencatkan proses kematangan mahasiswa
dalam sistem demokrasi kerana daripada keputusan untuk menunda tarikh
pilihanraya sehinggalah ke perlantikan ‘Executive Caretaker’ tersebut dibuat
secara autokratik dengan tidak langsung mengambil pendapat sepakat mahasiswa.
Baru-baru ini, Pro-Mahasiswa Nasional (PMN) dalam sidang
media mereka mendedahkan tentang Ops 2020 yang mana mereka dakwa merupakan sebuah
operasi yang didalangi Pejabat Perdana Menteri untuk mempengaruhi undi
mahasiswa pada Pilihanraya Umum akan datang. Jurucakap mereka juga mendakwa
‘penangguhan pilihanraya kampus juga menunjukkan pentadbiran kampus bertindak
"mengikut telunjuk Umno."’.
Sehingga kini, pesta demokrasi kampus masih tidak kunjung
tiba. UniSZA tidak terlepas dari polisi yang tidak demokratik ini, dan Majlis
Perwakilan Pelajar UniSZA, tanpa segan silu terus menggunakan nama Majlis
tersebut, sedangkan secara atas kertas, mereka bukan lagi wakil pelajar, tetapi
hanya sekadar ‘pelajar merangkap separa pegawai’ tanpa gaji.
Mantan Presiden MPP lepas, yang kini juga merupakan ahli ‘Executive
Caretaker’ tersebut, dalam menjawab isu ini cuba merelevankan tindakan tidak
demokratik Pentadbiran Universiti dan Kementerian ini dengan mengatakan bahawa penangguhan
dibuat kerana sistem semester yang berbeza antara pelajar diploma dan ijazah di
UniSZA.
Dan beliau juga menambah isu mahasiswa di universiti lain
bukan hal ‘keluarga UniSZA’, malah kita tidak sepatutnya terikut-ikut dengan
gerak kerja mahasiswa di universiti lain terutamanya di Lembah Klang. Ternyata
bahawa kerangka luas demokrasi gagal difahami oleh mantan Presiden MPP
tersebut.
Suatu mekanisme khusus haruslah diselidiki untuk mengatasi
masalah tersebut tanpa mengorbankan kerangka luas pendidikan politik dan
demokrasi di kalangan mahasiswa. Janganlah kita hanya mengikut telunjuk pihak
atasan, dan cuba melogikkan semua polisi yang dibuat tanpa memikirkan baik dan
buruknya.
Peri penting ‘Pesta Demokrasi’ di Kampus haruslah difahami
dan dihadam falsafah dan tujuan disebaliknya. Pilihanraya kampus sesungguhnya
merupakan salah satu cara dan medan latihan bagi mahasiswa memahami konsep dan
seterusnya berpartisipasi dalam sistem yang merupakan tunjang negara kita.
Dikhuatiri kelak, dengan pembudayaan autokratik seperti dalam isu penangguhan
Pilihanraya kampus ini, politik dipandang semakin negatif dan tahap partisipasi
mahasiswa dalam demokrasi semakin berkurangan, seterunya menidakkan sisi baik sistem
tersebut.
No comments:
Post a Comment