Terma ‘politik kampus’ sering kali dikaitkan dengan Pilihanraya
Kampus. Walaupun maksud sebenar politik kampus mencakupi skop yang lebih luas,
ramai yang lebih selesa melihat keberadaan politik kampus adalah ketika periode
antara tarikh penamaan calon hinggalah kepada pengunguman kemenangan
calon-calon untuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru.
Untuk tujuan plihanraya kampus, pada sekitar tahun 1996 hingga
1999, mahasiswa di seluruh negara mula membina jaringan atau gagasan dikalangan
mereka yang mempunyai idelisme perjuangan yang sama. Antara jaringan mahasiswa
yang utama adalah apa yang dikenali sebagai Pro-Aspirasi (selepas ini disebut
sebagai Pro-A) dan Pro-Mahasiswa (selepas ini disebut Pro-M). Masing-masing
wujud di hampir keseluruhan kampus tempatan, terutamanya di kampus-kampus awam.
Kedua-dua jaringan mahasiswa ini mempunyai idealisme mereka tersendiri. Seperti Pro-A, mereka ditubuhkan khusus untuk mendokong kepimpinan kerajaan (contoh di sini), dan menyokong serta mempertahankan segala polisi pentadbiran universiti. Gerak kerja mereka jika berjaya menjadi MPP adalah dengan mengabsahkan segala maklumat dari pihak pentadbiran dan mengambil tugas untuk memaklum dan menerangkan sesuatu maklumat kepada mahasiswa. Mereka juga memperjuangkan keamanan universiti dan perpaduan di kalangan mahasiswa.
Bagi Pro-M pula, mereka mendokong idealisme kemahasiswaan
iaitu non-partisan dan mahu menjaga kepentingan dan kebajikan mahasiswa. Seorang bekas aktivis mahasiswa, juga antara
mahasiswa yang mengapalai Pro-M di UKM, Hilman Idham, berpendapat bahawa beza
antara mereka dengan Pro-A adala mereka (baca; Pro-M) cuba mendidik mahasiswa
supaya lebih bersifat berdikari dan ingin turut terlibat dalam mentadbir
kebajikan mahasiswa bersama-sama dengan pentadbiran universiti. Dengan kata
lain, mereka ingin menyiapkan diri untuk mengisi kekosongan dalam kepimpinan
negara suatu hari nanti.
Dalam dimensi yang lain, di kalangan mahasiswa yang aktif beraktivisme juga dilabel dengan gelaran-gelaran ini walaupun mereka tidak pernah sesekali mengishtiharkan bahawa mereka dari Pro-A mahupun Pro-M. Mereka dilabel melihat kepada pendapat dan gerak kerja mereka. Jika kelihatannya seperti bias kepada pembangkang dalam konteks politik negara, maka mereka akan digelar sebagai Pro-M dan perkara yang sebaliknya berlaku kepada mahasiswa yang mempertahankan polisi-polisi kerajaan.
Walau berbeza mana pun cita-cita perjuangan mereka, adat
demokrasi tetap dipatuhi. Penerimaan dan keberkesanan strategi kedua-dua kumpulan
ini ada pasang surutnya. Kemenangan mereka dalam pilihanraya kampus sering bersilih
berganti. Seperti pada tahun 2003, undi ‘kumpulan aspirasi semakin meningkat
sehingga berjaya memenangi keseluruhan kampus IPTA di Malaysia’ (di sini). Manakala pada
tahun 2011, Pro-Mahasiswa berjaya menumbangkan Aspirasi di beberapa kampus
utama negara seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pelbagai pendapat diberikan berkenaan perkembangan ini, ada
yang mengatakan bahawa dengan terwujudnya kumpulan-kumpulan mahasiswa seperti
ini hanya akan mengakibatkan perpecahan di kalangan mahasiswa. Dan tidak kurang
juga yang berpendapat bahawa perkara ini adalah suatu perkembangan yang positif
dalam menuju demokrasi matang di negara kita.
Seperti dalam e-book Kalau Saya Mahasiswa, mencuplik
analisis Idris Ahmad yang berpendapat bahawa;
“ mahu mahasiswa dibenarkan bergerak bebas di kampus,
termasuk menubuhkan parti politik masing-masing seperti yang pernah diamalkan
sebelum ini. Jika tidak, ia akan merugikan mahasiswa, kerana mahasiswa mengundi
bukan lagi atas sentimen dasar perjuangan, isu-isu yang dibangkitkan dan
manifesto yang ditawarkan, tetapi atas dasar kawan, kenalan, rupa paras atau
mengundi entah siapa-siapa, sehingga menyebabkan mereka tidak tahu apa tujuan mengundi
dan akhirnya minat untuk turun mengundi hilang.”
Politik Kampus di Pantai Timur
Politik kampus di pantai timur sudah semestinya mempunyai
kelainan dan keunikan tersendiri kesan daripada sosio-politik dan sosio-ekonomi
masyarakat sekitar yang berbeza. Selain itu, faktor sejarah penubuhan
universiti pantai timur yang masih setahun jagung juga menyumbang kepada
keunikan tersebut.
Walupun begitu, mahasiswa tetap tidak dapat lari dari
perkembangan mahasiswa arus perdana. Suasana yang hampir sama berlaku di
beberapa buah universiti awam pantai timur terutama di Universiti Malaysia
Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Seperti di UMK, Pro-M mula bertapak sekitar tahun 2009 dan
telah memenangi beberapa kerusi penting dalam siri-siri PilihanRaya Kampus di
sana iaitu pada tahun 2010 dan 2011. Pada sesi Majlis Perwakilan Mahasiswa yang
lepas, mereka berjaya menguasai 3 kerusi Umum dari keseluruhan 4 kerusi. Malah,
calon-calon mereka juga memperoleh undi tertinggi.
Di UMT pula, kemenangan Pro-M pada tahun 2010 telah mengejutkan
banyak pihak. Ketika beberapa kerajaan Pro-M tumbang di kebanyakan kampus, Pro-M di UMT pula mencipta sejarah tersendiri
dengan memenangi 11 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.
Walaupun nama ‘Pro-Mahasiswa’ di UMT hanya diisytihar
selepas pengunguman kemenangan calon-calon, ia tetap membawa maksud yang sama.
Tindakan mendiamkan nama Pro-M sebelum kemenangan diumumkan hanya merupakan
salah satu strategi mereka dalam mendepani halangan-halangan tidak demokratik
dan tindakan tata-tertib yang mungkin diambil oleh pihak pentadbiran universiti.
Politik Kampus di UniSZA
Jika penanda aras keberadaan ‘politik kampus’ itu diukur
dengan PilihanRaya Kampus, maka politik kampus di UniSZA hanya muncul pada sekitar
tahun 2010, iaitu selepas hampir 4 tahun universiti ini ditubuhkan. Sebelumnya,
Majlis Perwakilan Pelajar UDM ketika itu dipilih terus oleh pihak Hal
Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UDM dengan cara licik dalam PilihanRaya
Kampus.
Pro-Aspirasi yang telah terlebih dahulu wujud di UDM, dengan
kerjasama HEPA dan beberapa pihak lain
telah menggunakan pelbagai taktik untuk cuba menyembunyikan proses PilihanRaya
Kampus. Seperti dalam kes Pemilihan MPP sesi 2008/2009, tahu-tahu sahaja, 22
calon Pro-Aspirasi telah menang tanpa bertanding. Perkara seperti ini telah
berlaku untuk tiga tahun berturut-turut.
Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati majoriti pimpinan
mahasiswa dari presiden persatuan fakulti hinggalah ke mantan pimpinan MPP pada
ketika itu. Oleh yang demikian, pada 15 Oktober 2008, pimpinan mahasiswa dari
persatuan Fakulti dan mantan MPP telah menghantar satu memorandum menuntut agar
PilihanRaya Kampus dijalankan untuk melantik kepimpinan mahasiswa dan berhenti
melayan mahasiswa seperti ‘budak sekolah rendah’.
Dan Dekan HEPA ketika itu memberi respon bahawa beliau;
“berasa pelik apa yang seronoknya dgn PRK (PilihanRaya
Kampus).menurut beliau Dato NC berkata tidak perlu ada pertandingan utk mmilih
MPP supaya dapat mngekalkan suasana yang aman dan harmoni. Tambah beliau, UDM
belum mngeluarkan produk dan tidak dapat menunjuk kepada pasaran bgaimanakah
mahasiswa2 yang dilahirkan oleh UDM lagi. Jika berlaku pertandingan utk merebut
kerusi MPP maka akan lahirlah beberapa bentuk kumpulan seperti pro aspirasi dan
pro mahasiswa. Dan jika berlaku sesuatu yg havoc, pihak universiti takut akan
mndapat liputan media dan perhatian masyarakat terhadap universiti.” (dipetik
dari blog salah seorang mahasiswi yang terlibat. lihat di sini)
Banyak pihak melihatnya sebagai suatu perkembangan yang
sihat, sambil memerlukan penambah-baikan dan pengisian kepada tuntutan-tuntutan
mahasiswa yang terdahulu. Hal ini kerana, walaupun PilihanRaya Kampus diadakan,
ia hanyalah sekadar ‘persembahan grand-teater PRK’. Manakan tidaknya apabila
melihat 8 calon bertanding untuk 6 kerusi Umum yang ditawarkan, dan kesemua calon
tersebut datang daripada satu pihak sahaja iaitu Pro-A.
Untuk mengelak perkara yang sama berlaku, menjelang PilihanRaya
Kampus tahun 2011, jentera Pro-A telah dicabar oleh beberapa muka baru dan
berpengalaman buat kali pertama. Namun, walaupun mereka bercanggah pendapat
dengan Pro-A, calon-calon tersebut awal-awal lagi telah berpendirian untuk enggan
menggunakan labelan Pro-M, dan lebih selesa menggunakan gelaran calon Bebas
atau Neutral.
PilihanRaya tahun 2011 membuktikan bahawa mahasiswa UniSZA
juga cakna dan berani ke hadapan untuk mengangkat pemimpin pilihan mereka.
Walaupun berhadapan dengan ugutan-ugutan, sikap berat sebelah dari HEPA, dan
beberapa halangan lain, mahasiswa tetap meneruskan usaha dalam mengisi perjuangan
bekas mahasiswa terdahulu.
Tarikh 15 Oktober 2008 menjadi titik mula kepada politik
kampus di UniSZA. PilihanRaya Kampus yang adil dan bersih dituntut dengan
berani dan waja. Perjuangan mahasiswa ketika itu sentiasa diingati dengan
keberanian generasi mahasiswa UniSZA sekarang. Kini, politik kampus UniSZA
sedang giat berkembang dengan semangat juang tinggi dan idea baru mahasiswa.
Walaubagaimana disekat dan ditahan, perubahan pasti kan
datang. Semoga politik kampus UniSZA
yang terwujud dengan keberanian mahasiswa terdahulu akan terus meriah dan
berkembang mekar.
No comments:
Post a Comment