Pada 23 hb Mei 2012, Executive Caretaker Unisza
dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar UniSZA telah menganjurkan Bicara Siswa bertempat di
Speaker Corner Unisza. Tiga ahli panel telah dijemput antaranya ialah Saudari Siti Saodah Binti Zakaria mewakili
Executive Caretaker Unisza, Saudara Aliff Bin Masli mewakili Flairsoc
dan Saudara Ahmad Fauzi Bin Ahmad mewakili
PMKI. Kehadiran mahasiswa Unisza agak mendukacitakan, dianggarkan hanya sekitar
dua puluh mahasiswa yang hadir untuk menyaksikan forum ini meskipun jika
dijadikan tajuk perbincangan sebagai kayu ukur, pastinya pihak penganjur
mengharapkan ia mampu menarik perhatian mahasiswa untuk turut serta.
Sepanjang forum berlangsung, dapat dilihat skop
perbincangan hanya berlaku dalam kerangka yang kecil. Sikap pesimis ahli panel
dalam membincangkan tajuk forum juga mewujudkan suasana perbincangan yang
kurang sihat. Ini dapat dilihat apabila ahli panel lebih selesa untuk mengambil
fakta dan peristiwa yang berada di zon selamat dan mereka gagal untuk mengheret
perbincangan ke dalam satu dimensi baru yang mampu memberi pencerahan kepada
mahasiswa yang hadir.
Antara penghujahan paling selamat yang diberikan
adalah contoh yang diberikan oleh Saudara Ahmad Fauzi Bin Ahmad. Beliau mengatakan
bahawa hadis yang diambil untuk menghalalkan demostrasi selalunya adalah hadis
yang disanadkan dhoif dan adalah tidak wajar untuk beramal dengan hadis seperti
ini sama sekali. Kita menerima periwayatan hadis lemah adalah tidak wajar untuk
diamalkan, namun adalah sangat menghairankan mengapa beliau tidak langsung
menjelaskan dan menggunakan hadis dengan sanad yang kuat sebagai contoh. Berikut
adalah hadis yang membenarkan demostrasi dengan sanad yang sahih;
“Sesungguhnya
jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya
di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu,
setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia
menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia,
Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke
rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam
al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).
Adakah
Sheikh Yusof Qardhawi sangat naïf apabila menyeru supaya rakyat Mesir suatu
masa dahulu turun kejalan untuk menjatuhkan regim. Saranan ikhlas kepada pimpinan
mahasiswa tersebut semoga berhati-hati apabila mengeluarkan hujah agama. Adalah
sangat tidak wajar bagi seorang bakal agamawan mendustakan kata-kata Allah dan
Rasulnya dan sudah pasti ini bukanlah konsep sir wa hazzar yang sentiasa
dilaung-laungkan.
Disamping
itu juga dapat dilihat Saudara Aliff seringkali menggunakan pendekatan sentimen buruk apabila
mengutarakan fakta dan perisitiwa berkenaan demostrasi. Mengapa sepanjang forum
berlangsung, beliau sama sekali tidak menyentuh demostrasi mahasiswa yang
berlaku pada awal era 70an yang memperjuangkan nasib rakyat. Antara demostrasi
mahasiswa yang paling memberi impak besar adalah Demostrasi Baling yang berlaku
pada tahun 1974, dimana mahasiswa ketika itu turun kejalan memperjuangkan nasib
rakyat miskin di Baling. Disamping itu beliau tidak langsung membicarakan
tentang fenomena arab spring yang menggunakan methodologi demostarsi
untuk menjatuhkan regim yang zalim.
Kesimpulannya
dapat dilihat bahawa forum Bicara Siswa kali ini hanyalah sekadar pelengkap
kepada jadual program bagi Executive Caretaker UniSZA. Ketiga-tiga ahli panel
yang dijemput dilihat tidak mampu untuk membincangkan isu dengan matang dan banyak
mengeluarkan pandangan serta pendapat hanya atas dasar persepsi dan bukannya
atas dasar ilmu yang telus. Bicara Siswa yang berlangsung kali ini hanya
sekadar seperti sembang kedai kopi dan forum ini sama sekali gagal menunjukkan
bahawa mahasiswa mempunyai idealisma dan gaya pemikiran yang matang dalam membahaskan sesuatu isu.
Namun
dalam pada itu, pujian harus juga diberikan kepada penganjur kerana dapat
memperbanyak program berbentuk ilmiah seperti forum dan wacana yang mampu
menyuburkan semula demokrasi yang kian mati di dalam kampus.