Sunday 26 June 2011

Hak Berhimpun; Apa Kata Ahli Akademik?


Dalam satu analisis ringkas yang ditulis oleh Dr. Abdul Aziz Bari* bertajuk ‘Kebebasan Dan Hak‐Hak Asasi di Bawah Perlembagaan Persekutuan ‐ Satu Analisis Umum’ ada mengupas tentang hak asasi yang terkandung dalam perkara 10, Perlembagaan Persekutuan kita. Analisis tersebut adalah seperti berikut;


Perkara 10 – Hak untuk bersuara, berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan

“Peruntukan ini menyatakan hak‐hak yang buat masa ini begitu banyak diperkatakan oleh orang ramai. Secara umum peruntukan ini menyatakan bahawa warganegara Malaysia “adalah berhak (untuk) bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran”. Mereka juga “berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata”. Perkara 10 juga menyebut bahawa “semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan”. Peruntukan ini sangat penting di sisi demokrasi kerana ia mengkanunkan hak‐hak yang amat asasi dalam demokrasi. Contohnya kebebasan akhbar adalah lanjutan daripada hak mengenai kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran. Bagaimanapun ini tidak wujud di Malaysia kerana para penulis dan penerbit umumnya tertakluk kepada ihsan penguasa untuk berbuat demikian; suatu fenomena yang kelihatan jika kita teliti peruntukan‐peruntukan dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984. Selain itu ada juga undang‐undang tentang hasutan dan rahsia rasmi. Kesan daripada semua statut ini ialah betapa perbahasan umum – dalam ertikata yang sebenar – begitu sukar diadakan. Begitu juga dengan hak untuk berkumpul secara aman; yang dinafikan melalui kewujudan undang‐undang yang mewajibkan permohonan permit di bawah Akta Polis 1967. Kuasa ini diberikan secara mutlak: pihak berkenaan tidak perlu memberi sebab atau menjustifikasikan larangan mereka berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan oleh perlembagaan. Hak ketiga, yakni hak untuk menubuhkan persatuan, juga sudah disekat dan apa yang asalnya dikatakan hak itu sudah menjadi ihsan apabila pihak berkuasa diberi kuasa yang luas untuk melulus, menggantung atau mengharamkan pertubuhan‐pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1972. Perlu ditegaskan bahawa ketiga‐tiga kumpulan hak di bawah Perkara 10 ini adalah hak‐hak yang amat penting dalam proses demokrasi. Sukar hendak dibayangkan bagaimana sebuah demokrasi boleh beroperasi sebagaimana seharusnya tanpa ketiga‐tiga hak yang mendasar ini. Ketiga‐tiga hak ini adalah landasan dan saluran yang amat penting yang sekaligus berfungsi mengelakkan politik yang bercirikan keganasan. Dengan kata lain kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan tidak boleh dinafikan sekiranya kita mahu memanggil sistem kita sebuah demokrasi yang tulen. Kesemua sekatan dan undang‐undang di atas memang dijustifikasikan dengan seal macam alasan yang muluk dan indah. Bagaimanapun pada praktisnya kebanyakan sekatan‐sekatan itu digunakan untuk menyulitkan perbahasan dan perbincangan yang sihat; yang selaras dengan tuntutan demokrasi tentang ketelusan dan akauntabiliti. Sudah tentulah fenomena sedemikian meletakkan pihak berkuasa di bawah mikroskop; sesuatu yang tidak menyenangkan mereka. Salah satu hujah yang sering kedengaran ialah betapa hak‐hak untuk berhimpun, bersuara dan berpersatuan di bawah Perkara 10 ini sering dianggap sebagai sesuatu yang mewah; yang hanya relevan di negara‐negara yang maju. Negara ini, sebagai negara yang masih membangun, tidak memerlukannya kerana rakyat lebih memerlukan hak untuk pembangunan; mendapatkan hal‐hal yang dianggap asas. Ini kurang tepat. Yang pertama di mana‐mana pun, di Timur maupun di Barat, kemiskinan dan kemunduran tetap wujud. Justeru itu kemakmuran yang merata boleh dikatakan sebagai utopia. Sebab itu tidak ada sebab mengapa hak untuk bersuara harus dinafikan. Yang keduanya pembangunan perlu dikaitkan dengan pembangunan insan. Walhasil konsep hak‐hak asasi itu sendiri turut berkait rapat dengan pembangunan kerohanian. Selain itu, kalau sekiranya diandaikan benar bahawa apa yang diperlukan oleh rakyat Malaysia ialah pembangunan, hak ini pun sebenarnya sukar untuk dipisahkan daripada hak untuk bersuara. Tidakkah ia perlu sekiranya pembangunan dinafikan atau tidak seimbang? Atau pun apabila pembangunan diberi atas pertimbangan kronisme dan seumpamanya? Selain itu, bagi penduduk‐penduduk di kawasan setinggan umpamanya, tidakkah kebebasan bercakap dan berhimpun itu perlu apabila dengan tiba‐tiba kawasan kediaman mereka dirampas? Itulah sebabnya hujah yang mendakwa bahawa hak untuk bersuara tidak relevan bagi masyarakat membangun sebenarnya adalah percubaan tersembunyi untuk mengesahkan penekanan dan penindasan.”

Melalui ulasan ringkas ini, kita mahasiswa perlu peka dan benar-benar meneliti hukum dan hak kita sebagai rakyat Malaysia. Kita juga mahasiswa perlu bingkas bangun mengkaji situasi sebenar, kemudian barulah kita dapat membina pendirian dan pegangan yang kukuh tentang satu-satu perkara. Janganlah kita mudah terikut-ikut dengan kata ramai, atau dakyah-dakyah berbaur politik hanya untuk menyelamatkan sesetengah pihak sahaja.

Kita mahasiswa, walau apa pun keadaannya, harus berpihak kepada rakyat!


*Dr. Abdul Aziz Bari merupakan pemegang Diploma Pentadbiran Awam (UiTM), LLB Hons (UIAM), LLM (Nottm) dan PhD (Birmingham). Beliau merupakan Profesor Madya dan Penyelaras Kursus Undang‐undang Perlembagaan, Kuliah Undang‐undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor Darul Ehsan.

No comments:

Post a Comment