Thursday 9 June 2011

Temu ramah bersama Presiden MPP UniSZA (siri 2)


Apa komen saudara terhadap desas-desus yang mengatakan bahawa saudara terlibat secara langsung dengan komuniti Pengkritik MPP UniSZA (PMU)?

Jika mereka kata saya PMU, secara peribadi saya tidak kisah pun. Pada saya mereka tetap mahasiswa, yang mana saya juga seorang mahasiswa. 

Apakah yang saudara dapat lihat tentang gerakan PMU?

Mereka nampak hak mahasiswa. Apa yang mereka perjuangkan tidak selalu kita jumpa di UniSZA, sejak zaman KUSZA lagi. Gerakan mereka juga sistematik dan berobjektif. Saya secara peribadi, tiada halangan untuk gerakan mereka ini.

Bagaimana pula dengan cita-cita PMU untuk mewujudkan semak imbang antara mahasiswa dan MPP?

Buat masa ini, kami di pihak MPP tidak menganggap PMU sebagai musuh dan ancaman. Mereka menyediakan medium perantaraan yang berkesan antara kami dengan mahasiswa. Saya bersetuju dengan cita-cita mereka itu, kerana semak imbang sangat perlu dalam mana-mana kumpulan masyarakat.

Jika kita cakna dengan politik kampus hari ini, kita dapat lihat banyak gerakan kebangkitan mahasiswa. Bagaimana pula dengan kebangkitan mahasiswa di pantai timur?

Kita tidak boleh samakan gerakan mahasiswa di Lembah Klang dengan di sini, tetapi saya lihat di Pantai Timur juga sudah mula wujud kesedaran mahasiswa untuk berpersatuan dan keinginan mereka untuk bangkit. 

Apa pendapat saudara tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU)?

Sudah hampir 5 tahun saya berada di UniSZA, saya masih tidak nampak akta ini dikuat kuasakan. Kita hanya ditakut-takutkan, tetapi hakikatnya kita tidak benar-benar faham akta ini. Pada saya ia hanya untuk menjaga sesetengah pihak saja.

Bagaimana pula dengan hak mahasiswa untuk terlibat dengan politik luar atau politik kepartian?

Untuk yang sudah layak mengundi, pada saya mereka boleh terlibat, untuk sekurang-kurangnya mengambil tahu akan pilihan mereka ketika mengundi nanti. Hal ini penting kerana pilihan mereka inilah nanti yang akan menentukan masa depan negara. Buat yang masih belum layak, saya rasa tidak perlulah dulu. Tetapi segala ini terbatas hanya di luar kampus. Ia sama sekali tidak wajar jika politik kepartian ini dibawa masuk ke dalam kampus. Kita perlu pertahankan politik kampus yang bebas dan berautonomi.

Adakah saudara sudah mendaftar?

Sudah.

Bagaimana saudara lihat tentang suasana politik sekarang?

Tidak sihat, lebih-lebih lagi ada pihak yang menggunakan isu-isu sensitif seperti isu perkauman dan isu agama hanya untuk memenuhi agenda politik mereka.

Jangkaan saudara untuk pilihan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi?

Antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, tentunya wujud persaingan sengit. Pada saya peluang kedua-dua belah pihak untuk menang adalah 50:50, walaupun wujudnya kawalan terhadap media.

Soalan terakhir, apakah harapan saudara sebagai anak muda untuk negara kita Malaysia pada masa hadapan?

Saya harap rakyat dapat lebih bersatu kerana perpaduan dan kesepaduan rakyat adalah sumber kekuatan negara.

No comments:

Post a Comment