Wednesday 15 June 2011

Speaker's Corner; Sejarah & Perkembangannya


Jika kita perhatikan, negara-negara maju luar negara ternyata meraikan kebebasan bersuara. Seperti di Hyde Park, London, hal ini merupakan salah satu punca tarikan pelancong ke sana. Apa yang menarik di sana adalah kerana wujudnya Speaker’s Corner. Masyarakat bebas bersuara dan menyatakan pendapat mereka di kawasan ini, tanpa rasa takut dibelasah dan ditangkap polis. Mereka membincangkan pelbagai perkara, dari isu politik hinggalah isu agama, domestik dan global.


Di Malaysia, medan ini juga wujud. Speaker’s Corner yang pertama telah diwujudkan pada 27 Mei 1966, atas inisiatif seorang pelajar sejarah Tahun 2 Universiti Malaya, Ravee Raghavan. Inisiatif ini timbul melalui desakan semasa yang memerlukan suatu medan bagi membincangkan isu-isu politik dan sebagainya di kalangan mahasiswa. Speaker’s corner atau lebih dikenali sebagai sudut pidato ini secara konsisten diadakan pada setiap hari sabtu pada jam 10 pagi, di kawasan terbuka di hadapan pintu utama perpustakaan Universiti Malaya pada ketika itu. Pada tahun berikutnya, sudut ini berkembang dengan wujudnya pentas rasmi, yang dibina oleh mahasiswa hasil kutipan wang secara kolektif di kalangan mahasiswa sebanyak RM200. Ia dilakukan 100% dari mahasiswa untuk mahasiswa. 

Menurut Muhamad Abu Bakar, pembukaan Sudut Pidato itu telah disambut oleh akhbar the Alliance, Oktober 1967, dengan menganggapnya sebagai Malaysia’s Hyde Park. Seterusnya akhbar ini mengulas, ‘..with the emergence of the speakers’ corner, the university is no longer referred to as high school.’
Sudut ini mula menghasilkan budaya sihat untuk mahasiswa mengutarakan pendapat mereka secara terbuka, dalam apa-apa isu. Apa yang menarik ialah mereka turut berpidato tentang isu dalam dan luar negara, tidak terbatas pada isu dalam universiti sahaja. Tiada syarat dikenakan, budaya bebas bersuara dan menyatakan pendapat ternyata tumbuh segar di universiti ulung Malaysia pada ketika itu. Apabila sudut ini dipenuhi mahasiswa sahaja, ada mahasiswa yang sanggup ponteng kelas untuk menghadirinya, menunjukkan sudut ini sangat popular dan positif di kalangan mahasiswa.

Sudut pidato ini juga tidak dilakukan dalam satu hala sahaja, mereka berdebat sesama mereka, mengkritik sesiapa sahaja termasuk majlis perwakilan pelajar mereka dan pihak pentadbiran universiti.  Juga perdana menteri Malaysia pada ketika itu tidak terlepas sama sekali dari kritikan mereka. Kebebasan bersuara benar-benar bertapak di sudut tersebut, isu ekonomi, bangsa dan agama didebat secara terbuka, sihat dan bertamadun – tiada istilah ‘isu sensitif’ pada ketika itu.

Sudut pidato ini tidak mati hanya di dalam universiti sahaja, malah ia berkembang ke luar. Sekumpulan pelajar, antaranya Syed Hamid Ali dan Khong Kim Hoong telah mengambil inisiatif untuk berpidato di luar kawasan kampus, menyampaikan maklumat kepada rakyat tentang hak rakyat. Mereka telah melakukannya dalam 5 bahasa, Syed Hamid Ali akan berpidato dalam Bahasa Malaysia, Khong Kim Hoong dalam Bahasa Inggeris , Yoong Suan dalam bahasa Mandarin, Chong Lai Huat dalam bahasa Hokkien, and Justin Chang dalam bahasa Kantonese. Dan kadang-kala, Rex Michael akan turut berpidato dalam bahasa Tamil.

Lihat sahaja kesungguhan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat. Mereka telah turun ke beberapa bandar, termasuk Kuala Lumpur, Seremban, Melaka dan Batu Pahat. Rakyat turun beramai-ramai untuk mendengar mahasiswa berpidato, contohnya di Melaka sahaja, 12,000 orang turun menyertai sesi pidato mahasiswa ini. Ternyata apa yang terhambur dari lidah mahasiswa, dihargai rakyat. 

Namun, ia hanya tinggal sejarah. Sebaik sahaja Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 digubal, Speaker’s Corner terus diharamkan lalu mati. Sudut ini menjadi bak tanah perkuburan, sunyi tanpa suara dari benak anak muda. Pendapat serta idea mahasiswa tidak dapat lagi disampaikan secara terbuka dan bebas. Sehinggalah pada bulan Januari 2010, Menteri Pengajian Tinggi menghalalkannya semula. Namun, Speaker’s Corner yang ada sekarang tidak setulen yang dulu. Banyak syarat dan tapisan dilakukan sebelum mahasiswa dapat berpidato di atas pentas Speaker’s Corner.

Lihat sahaja suasana Speaker’s Corner di beberapa universiti awam sekarang. Mahasiswa perlu mendaftar dan menyertakan tajuk pidato terlebih dahulu. Lebih parah lagi, ada di sesetengah universiti, mahasiswanya perlu menyertakan teks pidato mereka terlebih dahulu sebagai pra-syarat untuk berpidato. Bahasa mudahnya, sudut ini indah khabar dari rupa dan hanya dijadikan alat untuk menunjuk-nunjuk pada dunia bahawa universiti kita juga punya tahap demokrasi tinggi, namun realitinya, ia sekadar omongan. Lain pula halnya di universiti kita, UniSZA. Sudut ini sunyi sepi dan boleh dikatakan telah hilang fungsi. Jika bising pun, kalah dengan hiruk pikuk ‘pasar’. Siapa yang mahu dengar kita berpidato ketika sedang makan? 

Sebagai kesimpulan, bagi menghidupkan semula budaya yang demokratik dan sihat dalam penyampaian idea dan suara mahasiswa, kita perlu jelas dengan sejarah Speaker’s Corner terlebih dahulu. Kemudian, banyak lagi isu lain tentang Speaker’s Corner UniSZA yang harus diperhatikan dan diteliti semula.

Ayuh, kita bermula dari sini!

Rujukan 
3.       Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad, Riduan Mohamad Nor, 2007, m/s 8

No comments:

Post a Comment